KLANG – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersedia menawarkan bantuan kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berhubung insiden palam pintu pesawat Alaska Airlines tercabut sebelum ini.
Ini selepas tular palam pintu tersebut tertera tulisan tangan ‘Made In Malaysia’ .
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, CAAM telah menghubungi FAA Asia-Pasifik di Singapura semalam susulan pengesahan dibuat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat menyatakan palam pintu tersebut dibuat di Malaysia.
“Kita (CAAM) secara pro aktif telah berhubung dengan pejabat FAA untuk menawarkan bantuan kita berikutan laporan menyebut palam pintu tersebut dibuat di Malaysia.
“Setakat ini FAA menyatakan pihaknya akan menghubungi kita sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
“Walaupun palam pintu tersebut dihasilkan di Malaysia, komponen tersebut berada di bawah kelulusan FAA. (Jadi ) dari sudut kelulusan ia di bawah agensi itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu media melaporkan semalam, NSTB Amerika Syarikat mengesahkan palam pintu Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut semasa penerbangan pesawat Alaska Airlines awal bulan ini adalah dikilangkan di Malaysia.
Insiden berlaku ketika pesawat tersebut berada di ruangan udara beraltitud 16,000 kaki (4,877 meter).
Seramai 177 penumpang termasuk anak kapal bagaimanapun dilaporkan selamat.
Namun begitu, penemuan tulisan tangan ‘Made In Malaysia’ pada sebuah pintu pesawat tersebut menimbulkan tanda tanya orang ramai. -KOSMO!ONLINE