TANJUNG MALIM – Sebuah bas ekspres dua tingkat yang membawa 17 penumpang terbakar di Kilometer 375.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.19 pagi itu, kesemua penumpang bersama dua pemandu bas terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sewaktu anggota tiba di lokasi, didapati api sedang marak dan sebuah bas ekspres dua tingkat terbakar lebih 80 peratus.
“Semasa kejadian, bas itu membawa 14 penumpang lelaki dan dua penumpang wanita. Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum kebakaran merebak.
“Tiada kecederaan dialami semua penumpang. Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Johor ke utara,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE