SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya maut dalam nahas pada 11 Januari lalu kini sudah dapat menerima hakikat kehilangan orang tersayang itu.
Fatin Hanani Mohd. Norzianal, 23, berkata, dia berasa lega melihat perubahan adiknya, Adib Iman yang makin tenang dan tidak lagi mencari orang tua mereka yang meninggal dunia.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, Adib, 7, juga sudah boleh tidur lena sejak malam kelmarin.
“Cuma dia akan cari bantal busuk atau bantal peluk yang digunakan ibu dan ayah, baru dia dapat tidur,” katanya ketika ditemui di rumah sewa keluarganya di Taman Pahlawan, di sini semalam.
Cerita Fatin Hanani, dia bersama tiga lagi adik berusia 17, 16 dan 15 tahun bersyukur dengan perubahan adik bongsu mereka.
“Saya berdoa agar Adib kuat dan kami berlima akan terus kuat menjalani hidup tanpa ibu dan ayah di sisi,” ujarnya.
Jelasnya, Adib sering bercerita tentang kenangan manisnya ketika berkunjung ke Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur bersama arwah bapa, Mohd. Norzianal Mohd. Ainol, 46, dan ibu, Suhana Othman, 43, tiga minggu lalu.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Geofizik itu, dia akan menyambung cuti seminggu lagi bagi meluangkan masa bersama empat adiknya sebelum kembali ke Universiti Sains Malaysia.
Mereka lima beradik kini tinggal bersama nenek, Norain Che Lam, 72. Terdahulu, lima beradik itu dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, Rak Boon Tan Rat dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Dalam kunjungan itu, Rak Boon menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM4,000 dan pencen penakat berjumlah RM1,340 sebulan untuk anak-anak mangsa.