fbpx

Ambil langkah pencegahan elak dijangkiti TB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAKIT TB akan kerap mengalami sakit pada bahagian dada. – Gambar hiasan

BERBICARA tentang Tuberkulosis (tibi/TB), ia adalah penyakit berjangkit paling kerap menyerang paru-paru yang berpunca daripada sejenis bakteria.

Malah, TB boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti penyakit itu batuk, bersin atau meludah tetapi ia boleh diubati.

Di Malaysia, penyakit TB kekal sebagai salah satu masalah utama dalam bidang kesihatan awam dengan peningkatan sebanyak 17 peratus kes pada tahun 2022 berbanding 2021.

Selain itu, berlaku peningkatan 12 peratus kes kematian berkaitan penyakit TB pada 2022 berbanding 2021.

Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Rosmadi Ismail berkata, terdapat kaedah diagnosis, pilihan rawatan, langkah pencegahan dan usaha penyelidikan berterusan bagi memerangi penyakit TB.

Menurutnya, Malaysia menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan pengesanan penyakit TB yang cepat dan tepat.

“Antara kaedah yang digunakan termasuk ujian mikroskopik smear, kultur dan kepekaan, serta ujian amplifikasi asid nukleik (NAAT).

“Selain itu, pemeriksaan radiografi (sinar-x) dada dan ujian klinikal seperti Ujian Kulit Tuberkulin (TST) penting dalam mengesahkan jangkitan,” katanya.

Tambahnya, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa teknik inovatif sedang diuji secara klinikal di seluruh dunia seperti teknologi biopenderiaan dan nano diagnostik yang menjanjikan keputusan lebih cepat serta tepat.

Dr. Rosmadi menjelaskan, penyelidikan berterusan memberi tumpuan kepada kaedah inovatif seperti pengesanan bantuan komputer (CAD) melalui kecerdasan buatan, teknologi penangkapan secara aeroso dan ujian kulit berasaskan antigen.

Jelasnya, semuanya bakal merevolusikan diagnosis penyakit TB, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pada masa depan.

DR. ROSMADI

Malah, rawatan untuk penyakit TB di Malaysia dilakukan mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mencerminkan standard rawatan global.

“Rawatan standard penyakit TB rentan ubat (drug-susceptible) di Malaysia melibatkan gabungan empat jenis ubat iaitu ethambutol, rifampicin, isoniazid dan pyrazinamide yang diberikan kepada pesakit untuk tempoh enam hingga lapan bulan.

“Salah satu komponen penting rawatan penyakit TB adalah strategi pemerhatian langsung atau Directly Observed Treatment (DOT), di mana pesakit berada di bawah pengawasan pekerja kesihatan untuk memastikan pengambilan ubat lengkap,” jelasnya.

Ulasnya, biarpun tiada ubat atau rawatan baharu yang berjaya dihasilkan bagi merawat penyakit TB, namun ia penting untuk mengetahui bahawa rawatan penyakit TB rentan ubat melibatkan rejimen berbeza.

“Pendekatan yang disesuaikan ini terbukti berkesan, walaupun dalam kes penyakit TB rentan ubat.

“Ia mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap penjagaan pesakit yang menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rosmadi berkongsi beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil oleh masyarakat. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah dengan menjauhi tempat sesak.

TB merupakan penyakit berjangkit paling kerap menyerang paru-paru.

Sebaiknya, elakkan mengunjungi tempat sesak, terutamanya jika tempat itu tidak mempunyai sistem pengudaraan baik.

Ini kerana, tempat sesak memudahkan lagi penyakit TB merebak.

“Kita juga harus peka terhadap tubuh sendiri. Jika anda mengalami gejala batuk berterusan, demam atau penurunan berat badan secara mendadak, segera dapatkan bantuan perubatan.

“Tindakan ini akan membantu anda sembuh dan menghalang penyakit itu daripada merebak.

“Selain itu, lakukan pemeriksaan jika anda berisiko, mempunyai sistem imun lemah atau pernah mendekati orang menghidap penyakit TB.

“Anda perlu mempertimbangkan untuk menjalani ujian, ia adalah langkah mudah yang dapat mengenal pasti penyakit ini lebih awal sekiranya terdedah kepadanya,” ulasnya.

Tambahnya, antara langkah pencegahan lain yang boleh diambil adalah melengkapkan rejim rawatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Jika anda telah dijangkiti penyakit TB, penting untuk melengkapkan rawatan diterima.

Langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, selain membuang tisu dengan betul untuk melindungi diri serta orang di sekeliling. Pada masa sama, kekal dilindungi di tempat kerja, jika pekerjaan anda melibatkan interaksi dengan ramai orang.

Pastikan anda pakai kelengkapan perlindungan yang sesuai sebagai langkah keselamatan tambahan.

Dapatkan perlindungan vaksin juga merupakan langkah pencegahan penting.

Vaksin penyakit TB yang tersedia kini iaitu Bacillus Calmette Guérin (BCG) menawarkan separa perlindungan kepada bayi dan kanak-kanak bagi menentang penyakit TB teruk.

Walaupun ia tidak melindungi remaja dan orang dewasa yang merupakan pembawa utama penyakit TB, tetapi ia dapat membantu dalam masa panjang.

Tambahnya, perjuangan menentang penyakit TB di Malaysia memerlukan pendekatan secara menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek.

Kesedaran masyarakat dan kerjasama dengan badan penyelidikan antarabangsa akan meningkatkan peluang kita memerangi penyakit ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI