ABIDJAN – Pasukan pilihan, Maghribi tidak mempunyai masalah untuk memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan langkah kanan selepas menewaskan Tanzania 3-0 pada aksi pertama Kumpulan F di Stade de San Pedro awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad Maghribi berjaya menjaringkan gol menerusi kapten, Romain Saiss dan tambahan jaringan hasil ledakan Azzedine Ounahi serta Youssef En-Nesyri.
Keputusan itu seperti sudah dijangka memandangkan Maghribi menjadi pasukan yang mencipta kejutan apabila menjadi negara benua Afrika pertama mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia 2022.
Malah, kedudukan ranking pasukan The Atlas Lions itu juga ketika ini antara yang terbaik di dunia dengan posisi ke-13 berbanding Tanzania di tempat ke-121.
Biarpun dianggap kuasa besar benua Afrika, namun Maghribi baru sekali berjaya menjulang trofi AFCON pada edisi 1976 di Ethiopia.
Disebabkan itu, pengendali Maghribi, Walid Regragui mengakui pasukannya masih belum layak dilabel sempurna, tetapi ini adalah permulaan yang baik dalam misi menjuarai AFCON edisi kali ini menjadi kenyataan.
“Semua pemain sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Peminat kita juga setia untuk menyaksikan pasukan melakar kemenangan pada setiap perlawanan.
“Dalam masa yang sama, saya tidak mahu pasukan terlalu mendabik dada dan menghormati siapa sahaja yang kita akan hadapi pada kempen kali ini.
“Banyak lagi kelemahan yang perlu kita perbaiki dan lebih baik kita fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya. – AGENSI