fbpx

8 hentian bas bersolar integrasikan UiTM bebas karbon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arnis, Md. Yusof dan Mohamad Zuki ketika melakukan simbolik pengecasan gajet di salah sebuah perhentian bas berkuasa solar di UiTM Shah Alam. FOTO: Saddam Yusoff

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengintegrasikan persekitaran kampus mesra alam menerusi lapan hentian bas berkuasa solar yang beroperasi bermula hari ini.

Projek kerjasama dengan Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu melibatkan penambahbaikan lapan perhentian bas di dalam UiTM Shah Alam.

Pengarah UiTM Green Centre, Prof. Madya Datin Dr. Arnis Asmat berkata, perancangan projek tersebut telah bermula sejak setahun lalu dengan lapan bas terpilih dilengkapi sistem solar untuk pencahayaan dan kemudahan pengecas peranti USB.

Katanya, kriteria pemilihan lapan hentian bas itu termasuk penerimaan pencahayaan matahari yang maksimum, rekabentuk bumbung hentian bas dan penggunaan oleh para pelajar.

“Teknologi solar pada hentian bas ini boleh beroperasi 24 jam sehari dan sistemnya bersifat hibrid selain penggunaan lampunya menggunakan smart sistem. Apabila hentian ini digunapakai pelajar, maka lampunya akan beroperasi dan ini juga adalah satu penjimatan.

“Ini sekaligus dapat mempromosikan gaya hidup kampus yang mampan melalui pengurangan jejak karbon di kampus,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, simbolik perasmian perhentian bas berkuasa solar itu disempurnakan Penolong Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof. Dr. Md. Yusof Hamid bersama Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Mohamad Zuki Wan Abdullah.

Mengulas lanjut, Arnis menjelaskan, UiTM sehingga kini telah mencapai pengurangan karbon sebanyak 45 peratus karbon selaras pelan strategik dalam mencapai kampus hijau lestari pada tahun depan.

Sementara itu, Mohamad Zuki berkata, komitmen penajaan ini adalah kesinambungan agenda kelestarian bersama Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini pada dua tahun lalu.

Ujarnya, komitmen CSR bermula selepas diiktiraf sebagai kilang gula pertama mendapat pensijilan VIVE di Asia dan rantau ASEAN.

“VIVE merupakan satu program yang diiktiraf di peringkat global dengan memberi fokus kepada penambahbaikan kelestarian secara berterusan untuk rantaian bekalan komoditi yang meliputi semua operasi dari pengeluar hingga pengguna.

“Justeru, menerusi wujudnya tujuh buah hentian bas berkuasa solar tinggi (ditaja CSR) adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI