WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) membedil 14 sasaran peluru berpandu yang sedia untuk dilancarkan di Yemen, kata Pentagon semalam.
“Semua peluru berpandu ini mendatangkan ancaman terhadap kapal dagang dan kapal Tentera Laut AS di rantau berkenaan dan boleh dilancarkan pada bila-bila masa sahaja. Serangan dilancarkan sebagai hak dan obligasi AS untuk mempertahankan dirinya,” kata markas perintah pusat, CENTCOM dalam satu kenyataan.
Hani Kayed, 44, yang merupakan penduduk bandar pelabuhan Hodeida di Yemen memberitahu AFP bahawa dia mendengar letupan kuat sekitar pukul 2.16 pagi (waktu tempatan) semalam di timur bandar itu dekat lapangan terbang.
Hodeida dan bandar Taez menjadi sasaran pusingan pertama serangan AS serta Britain di Yemen pada minggu lalu.
Media Houthi, Al-Masirah TV melaporkan, kedua-dua bandar itu dibedil sekali lagi dalam serangan semalam di samping tiga kawasan lain. – AFP