fbpx

Sukan SEA 2025 aksi terakhir Husniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUSNIAH mungkin membuat penampilan terakhir di Sukan SEA Thailand 2025 sebelum melabuhkan kariernya sebagai atlet negara.

RATU pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli meletakkan jangka masa selama dua tahun lagi untuk terus bergiat aktif dalam sukan olahraga sebelum membuat penampilan ter­akhirnya pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Ia adalah perancangan awal atlet berusia 31 tahun berkenaan sebelum melabuhkan kariernya selepas saingan yang akan diadakan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla itu bermula 7 hingga 19 Disember tahun depan.

Pemenang pingat gangsa 4×100 meter (m) wanita pada Sukan Asia Hangzhou, China tahun lalu itu mahu memberikan fokus kepada fasa baharu kehidupannya dari segi karier sebagai guru dan juga keluarga.

“Keluarga banyak berikan sokongan terutama ayah yang sentiasa menyokong saya dalam sukan. Saya pun dah berkahwin dan sudah habis belajar, tetapi saya nak tinggalkan dunia sukan sebab dari kecil terlibat dalam bidang ini.

“Cumanya sampai satu masa saya mesti akan alami fasa baharu kehidupan. Bagi saya masa dua tahun hingga Sukan SEA Thailand, Insya-Allah itu adalah peng­akhiran, tetapi saya tak boleh janji sebab apa-apa boleh berlaku.

“Namun, sekarang saya tak fikir lagi tentang perkara itu sebab saya masih dalam program. Fokus sekarang hanyalah berlatih dan kita tunggulah nanti macam mana,” katanya.

Sebagai rekod, Husniah pernah meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa seperti dua perak dan empat gangsa Sukan SEA selain satu emas serta dua gangsa di peringkat Sukan Universiti ASEAN (AUG).

Kenangan manis buat atlet dari Alor Setar, Kedah itu pasti­nya sewaktu dia membuat penampilan pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Kariernya boleh dianggap ber­akhir sempurna jika berjaya memecahkan rekod 100m Malaysia berusia 31 tahun dengan catatan 11.50 saat (s) dilakukan G. Shanti pada 1993 walaupun percubaannya tujuh tahun lalu di Afrika Selatan tidak diiktiraf disebabkan menerima bantuan angin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI