JERANTUT – Seorang suri rumah terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas suaminya tidak mampu berjalan dan bekerja akibat diserang strok sejak empat lalu.
Berbekalkan hasil jualan kuih kira-kira RM700 sebulan, Fazziah Abdullah, 46, menyara keluarga termasuk empat anak berusia antara lima hingga 19 tahun termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down yang menderita penyakit tiroid dan kemaluan bercantum.
Menurutnya, setiap hari dia membuat pelbagai jenis kuih dan menghantar ke beberapa kedai makan sekitar kediamannya di Felda Kota Gelanggi.
“Suami dulu bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur dan diserang strok dengan sebelah kiri badannya tidak boleh bergerak pada 2019. Sejak itu dia menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas),Temerloh dan Bandar Pusat Jengka sehingga hari ini.
“Setelah empat tahun dirawat, suaminya kini cuma mampu berdiri menggunakan tongkat dan berkerusi roda untuk ke bilik air dan tandas,” katanya.
Jelasnya, dia mengambil tanggungjawab menanggung perbelanjaan keluarga dengan membuat kuih dan menerima tempahan bagi menampung keperluan dapur, bil elektrik dan air serta persekolahan dua anak mencecah RM2,500 sebulan.
Fazziah berkata, dia juga berdepan ujian apabila anak keempat, Mohamad Azriq Izzuddin, 5, disahkan sindrom Down dan menderita penyakit tiroid selain kemaluannya bercantum.
“Anak saya perlu mendapat rawatan di Hoshas tiga bulan sekali dan bulan ini dijangka menjalani pembedahan tonsil dan kemaluan,” katanya.
Fazziah berkata, dia menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.
“Saya reda dengan ujian Allah dengan keadaan nasib kami sekeluarga. Kami masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan cuma menumpang di rumah milik ibu bapa,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Fazziah Abdullah di talian O11 12834047 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1016141000068616 (Fazziah).