fbpx

SPAN pantau operator pertingkat kualiti perkhidmatan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Yusrizal

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) lebih proaktif memantau semua operator air di seluruh negara.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ia bagi memastikan kerja-kerja menambah baik kualiti bekalan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif bermula 1 Februari ini.

Katanya, pemantauan itu penting untuk menjamin usaha penambahbaikan dilakukan secara teratur, cekap dan berkesan demi kepentingan pengguna.

“Seiring dengan kenaikan tarif air ini, pengguna pasti berharap kualiti perkhidmatan bekalan air dapat dipertingkatkan.

“Lebih-lebih kepada pengguna yang bertahun-tahun lamanya menghadapi masalah bekalan air atau air keruh, mereka mahu isu itu selesai dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, pengguna akan berasa kecewa sekiranya tiada penambahbaikan dilakukan, sedangkan mereka perlu membayar bil pada harga lebih tinggi.

“Jika kualiti perkhidmatan (air) terus merosot, pengguna semestinya akan rasa marah dan kecewa, jadi saya harap percepatkan projek naik taraf air di seluruh negara.

“Kasihan kepada pengguna yang sekian lama menderita masalah gangguan bekalan air di lokasi tertentu termasuk di Kedah ini,” ujarnya.

Mohamad Yusrizal berkata, semua operator juga perlu membina baharu atau menaik taraf loji dari semasa ke semasa mengikut jangkaan kapasiti pengguna untuk tempoh tertentu.

“Operator kena buat jangkaan awal berapa tambahan penduduk di sesebuah kawasan kerana apa yang berlaku ketika ini loji air yang dibina tidak dapat menampung kapasiti penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau pada masa sama meminta semua operator termasuk Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) menambah baik sistem aduan pengguna.

“Ada aduan menyatakan pengguna sukar untuk menembus talian aduan. Kita harap selepas ini operator dapat menerima aduan dengan cepat seterusnya bertindak sesegera mungkin,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI