fbpx

Sindiket ganja ‘pasir berdengung’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Iqbal (tengah) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Shah Alam hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Taktik licik satu sindiket menubuhkan syarikat persendirian dikenali ‘Pasir Berdengung’ untuk mengedar ganja sejak setahun lalu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kondominium di Glenmarie di sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan pada pukul 6.40 petang, Ahad lalu, polis memberkas empat lelaki termasuk dalangnya yang berusia 31 dan 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, modus operandi sindiket adalah membuka kumpulan sosial sulit menerusi aplikasi Telegram untuk  pelanggan tetap yang ingin menempah dadah.

Menurutnya, ganja tersebut dijual dengan berat 100 gram (g) hingga 1 kilogram (kg) dan dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

“Sindiket memberikan akaun nombor atas nama syarikat ‘Pasir Berdengung’ sebelum ganja dihantar kepada pelanggannya.

“Syarikat itu ditubuhkan bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan haram tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, polis sedang membuat semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti jenis peniagaan syarikat tersebut.

Tambah Mohd. Iqbal, serbuan di kondominium yang dijadikan sebagai tempat pembungkusan dadah itu menemukan 6.5 kg dadah bernilai RM20,243.

Dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,306 penagih sekiranya terlepas di pasaran.

“Kita turut menyita dua buah kenderaan dan dua motosikal jenis Mazda, Perodua Bezza, Yamaha FZ150i dan Honda RSX dengan nilai keseluruhan RM128,243.

“Empat suspek didapati positif kanabis dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod di bawah Akta Racun,” ujarnya.

Jelas beliau, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI