fbpx

K2

Sampai bila boleh baca qunut nazilah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUNUT nazilah diamalkan apabila berlaku bencana pada umat Islam. – Gambar hiasan

Mohon pencerahan berkaitan tempoh membaca qunut nazilah, adakah ia dihadkan kepada tempoh tertentu atau selama musibah berlaku atau ia dilakukan berasaskan arahan pihak Ulul Amri?

Jawapan: Qunut nazilah tidak memiliki had tempoh tertentu untuk dibaca.

Ia sunat untuk dibaca selagi musibah yang menimpa umat Islam itu belum berakhir.

Namun, suka kami mengingatkan bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah berada di bawah ruang lingkup bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Setiap kali berlakunya musibah yang menimpa umat Islam, maka umat Islam dituntut untuk membaca doa qunut nazilah di dalam solat setelah rukuk pada rakaat terakhir.

Nabi SAW pernah membaca qunut nazilah dalam solat subuh selama sebulan setelah berlakunya pengkhianatan dan pembunuhan ke atas 70 orang sahabat Nabi SAW dalam peristiwa telaga Ma‘unah.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, katanya: “Sesungguhnya kabilah Ri’l, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan meminta bantuan kepada Rasulullah SAW berperang.”

Lalu Baginda menghantar 70 orang sahabat dalam kalangan Ansar. Kami menggelar mereka sebagai Qurra’ (orang yang mahir membaca al-Quran) di zaman mereka.

Mereka adalah golongan yang mengutip kayu api di waktu siang hari dan menunaikan solat di waktu malam.

Apabila mereka tiba di telaga Ma‘unah, kabilah-kabilah tersebut telah melakukan pengkhianatan dengan membunuh mereka.

Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW membaca doa qunut (nazilah) selama sebulan.

Nabi SAW mendoakan kehancuran dalam solat subuh bagi sebahagian kabilah-kabilah Arab iaitu Ri’l, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan.” (Riwayat Al-Bukhari)

Selain itu, riwayat lain menyebutkan berkenaan doa qunut nazilah yang dibacakan oleh Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, katanya: Tatkala Nabi SAW sedang menunaikan solat isyak apabila Baginda membaca sebelum sujud Baginda berdoa: “Ya Allah! Selamatkanlah ‘Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya Allah! Selamatkanlah Salamah bin Hisyam. Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid bin al-Walid. Ya Allah! Selamatkanlah mereka yang lemah daripada kalangan orang beriman. Ya Allah! Kau keraskanlah azab-Mu ke atas kabilah Mudhar. Ya Allah! Jadikanlah ke atas mereka kemarau panjang seperti yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, para ulama menyatakan bahawa qunut nazilah sunat dibaca dalam solat fardu ketika berlaku bencana pada umat Islam.

Di sisi ulama mazhab Syafi’i, tiada tempoh yang tertentu untuk membaca doa qunut.

Selagi musibah yang menimpa umat Islam belum berakhir, disunatkan untuk terus membacanya.

Selain itu, Imam al-Tabari dalam kitab Tahzib al-Athar menjelaskan bahawa antara sunah yang baik untuk diamalkan ketika umat Islam ditimpa musibah adalah membaca qunut nazilah pada setiap kali solat fardu sehingga

Allah memberikan kemenangan sama ada mengalahkan musuh, atau mereka memeluk Islam atau mereka menyerah diri sebagaimana dalam tragedi Bi’r al-Mauunah.

Oleh itu, jelaslah bahawa pelaksanaan qunut nazilah tidak memiliki had tempoh tertentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI