ROM – Biarpun Jose Mourinho dipecat AS Roma, tetapi saham jurulatih yang diberi gelaran The Special One itu tetap tinggi dan dijangka tidak menunggu lama untuk menemui kelab baharu selepas ini.
Pemecatan Mourinho, 60, membuatkan beberapa jurulatih tidak senang duduk antaranya pengurus Newcastle United, Eddie Howe yang dikatakan berpotensi digantikan oleh pengendali dari Portugal itu.
Ia susulan prestasi mengecewakan The Magpies tewas tujuh daripada 11 perlawanan terakhir yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) selain turut tersingkir dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini.
Jika Mourinho dilantik, ia bakal menjadi kelab EPL yang keempat buat pengendali berusia 60 tahun itu selepas Chelsea (2004-2007, 2013-2015), Manchester United (2016-2018) dan Tottenham Hotspur dari 2019 hingga 2021.
Bukan itu sahaja, Mourinho juga pernah meraih nilai pampasan sekitar £80 juta (RM474.76 juta) selepas lima kali dipecat dalam karier kejurulatihannya dengan Chelsea sahaja membayarnya sebanyak £26 juta (RM154.30 juta).
Chelsea pernah dua kali memecatnya pada 2007 dan 2015 sebelum Real Madrid pula membayarnya £17 juta (R100.89 juta), United £20 juta (RM118.69 juta) dan Spurs berjumlah £15 juta (RM89.02 juta).
Bagaimanapun, pemecatan kali keenam ini menyaksikan Mourinho cuma meraih pampasan berjumlah £3 juta (RM17.80) daripada Roma memandangkan kontraknya akan berakhir pada Jun depan.
Selain Spurs, Mourinho tidak pernah gagal menghadiahkan kejuaraan buat kelab-kelab yang dikendalikannya dengan Roma memenangi trofi Liga Konferens Europa dua musim lalu. – AGENSI