IPOH – Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti dan membincangkan kes keluarga kurang berkemampuan di Perak yang tinggal dalam persekitaran daif dan tidak sesuai.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama agensi berkaitan itu bagi melihat permasalahan tersebut dengan lebih terperinci dan mekanisma yang boleh digunakan bagi membantu mereka.
Katanya, inisiatif tersebut diambil bagi memastikan kes dua beranak yang tinggal dalam persekitaran daif di sebuah rumah pangsa di Taman Silibin tidak berulang.
“Ini berkaitan dengan kemanusiaan, berkaitan tanggungjawab kerajaan negeri untuk melihat bagaimana rakyatnya berada dalam suasana yang perlu diperbetulkan.
“Jika ada keluarga yang mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal untuk hidup tetapi dalam masa sama perlu membayar sewa rumah, misalnya jika dapat RM300 dan bayaran sewa rumah pun RM300, apa yang mereka nak buat?.
“Ini yang kita akan lihat, kita akan tengok perkara ini secara menyeluruh untuk tengok apa yang boleh dibantu. Kita tidak mungkin dapat selesaikan semua kes dan saya percaya kes seperti ini (dua beranak), ada di tempat lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kediaman dua beranak yang dilaporkan tinggal di persekitaran dipenuhi sampah sarap dan takungan najis di Rumah Pangsa Taman Silibin di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, hasil perbincangan, wanita uzur berkenaan akan ditempatkan di institusi di bawah kendalian JKM. – KOSMO! ONLINE