PETALING JAYA – Beberapa pengguna media sosial tampil memberi pandangan agar pemilihan surah oleh imam ketika solat subuh berjemaah di masjid mahupun surau adalah perlu bersesuaian dengan situasi semasa.
Seorang pengguna X, mencadangkan agar surah dipilih lebih pendek kerana ramai makmum sedang mengejar masa untuk masuk kerja.
“Hari itu ada baca perkongsian seorang ini tentang solat ‘subuh macam Jumaat’. Katanya bacaan imam panjang sangat. Kebanyakan orang terkejar-kejar nak pergi kerja.
“Kalau begini rupanya, lama-kelamaan orang tak dapat selalu hadir meramaikan solat subuh berjemaah di masjid, kalau boleh pun mungkin waktu hujung minggu,” kongsinya.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain tampil berkongsi pengalamannya apabila sudah beberapa kali terlewat sampai ke tempat kerja gara-gara terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada waktu pagi.
“Selalu kalau solat di rumah sendiri, sebelum 6.30 pagi saya dah gerak ke pejabat. Minggu lepas saya mula terbuka hati untuk sertai solat subuh berjemaah dekat masjid.
“Cumanya dah tiga kali saya ikut, tiga kali juga saya lewat ke pejabat, sebab pukul 6.30 lebih baru selesai solat. Kawasan rumah saya, kalau lepas 6.30 pagi memang akan sesak teruk, sebab itu kena gerak keluar kawasan sebelum 6.30 pagi.
“Saya cadang imam pilih surah lebih ringkas, supaya ramai makmum sempat berjemaah sekali. Nak masuk kawasan ibu kota memerlukan perjalanan lebih awal walaupun kerja pukul 8.30 pagi. Dua jam sebelum dah kena gerak kalau dari Bangi ini,” kata Yusdi.
“Aku setuju dengan pendapatnya dan aku perhatikan ramai yang lain turut merasakan perkara sama,” sokong seorang lagi pengguna yang bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, perkara tersebut turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, apabila terdapat pandangan berbeza yang merasakan perlu untuk imam membacakan surah lebih panjang ketika solat subuh.
“Kena faham, solat subuh digalakkan untuk membaca surah panjang supaya sesiapa yang baru bangun, mereka masih sempat datang untuk solat berjemaah sekali. Solat dua rakaat pun nak berkira,” tegur Nurayuni.
“Solat subuh dua rakaat sahaja, tak sampai lima minit pun solat jemaahnya. Siapa yang nak cepat, lepas beri salam, boleh terus gerak, tak perlu la tunggu sampai selesai semua. Insya-Allah sempat sampai kerja tepat pada waktunya,” ujar Mohd. Qayyum. – KOSMO! ONLINE