fbpx

Pemuda didakwa rempuh polis rayu jaminan rendah alasan nak kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Tindakan seorang lelaki merempuh kereta dan mencederakan anggota polis bagi mengelak dirinya dicekup membawa padah apabila didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Khairunnisak Hasni.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara mengundurkan kereta yang dipandu dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan dengan nilai kerugian RM2,358.15.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah kepada anggota polis yang sedang menjalankan kewajipan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Alif Danial Hermi.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan tertuduh kira-kira pukul 4.45 pagi di Lorong Kekwa 11, Peringggit, pada 4 Januari 2023.

Difahamkan tertuduh melakukan perbuatan itu gara-gara cemas selepas melihat kehadiran pihak polis susulan dia membawa kereta yang dicuri rakannya ketika keluar membeli makanan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Tertuduh yang diwakili Peguam Ishak Kari bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh dalam perancangan untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, selain menanggung ibunya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI