BANGKOK – Anggota kumpulan Kpop Blackpink, Lalisa Manobal dinamakan individu paling berpengaruh di Thailand, lapor KBIZBoom.
Pengiktirafan dibuat berdasarkan keputusan kaji selidik oleh Universiti Suan Dusit pada 20 hingga 27 Disember tahun lalu yang menyaksikan 28.1 peratus responden memilih Lisa.
Aktiviti Lisa juga mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta laman sosial.
Penyanyi itu pernah menyatakan dia mengidam untuk makan bebola daging dari sebuah gerai di bandar kelahirannya di wilayah Buriram, menyaksikan jualan makanan tersebut melonjak.
Kedatangan pelawat ke destinasi pelancongan Ayutthaya juga meningkat mendadak selepas Lisa menyiarkan gambarnya berada di lokasi itu di laman sosial.
Kaji selidik melibatkan 7,398 responden itu menamakan bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat berada di tempat kedua dengan 27.5 peratus undi.
Senarai sama turut merangkumi pelakon dan pengacara Kanchai Kamnerdploy (22.6%), pemimpin Parti Pheu Thai Paetongtarn Shinawatra (12.4%) dan Anntonia Porsild (9.4%) yang merupakan naib juara pertandingan ratu cantik Miss Universe 2023. – AGENSI