TOKYO – Jepun menandatangani perjanjian membeli 400 peluru berpandu jarak jauh jenis Tomahawk buatan Amerika Syarikat hari ini ketika Tokyo meningkatkan keupayaan ketenteraan untuk menangkis ancaman keselamatan serantau.
Berdepan pengaruh tentera China yang semakin meningkat dan ancaman senjata nuklear Korea Utara, kerajaan Jepun akan menggandakan perbelanjaan pertahanan, menyamai standard NATO iaitu dua peratus daripada KDNK menjelang 2027.
Pembelian 400 peluru berpandu itu menelan kos AS$2.35 bilion (RM11.09 bilion) untuk dua jenis Tomahawk, setiap satu mempunyai jarak sasaran sejauh 1,600 kilometer.
Ia diluluskan oleh Washington pada November 2023.
“Melalui pelaksanaan bajet (pertahanan) yang baik, kami akan memperkukuhkan keupayaan pertahanan kami secara meluas,” kata seorang pegawai Jepun selepas perjanjian itu ditandatangani di Tokyo.
Jepun meluluskan belanjawan pertahanan bernilai AS$56 bilion (RM264.21 bilion) untuk tahun fiskal berikutnya mulai April ini. – AFP