PETALING JAYA – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui masih belum ada teman wanita kerana sibuk bekerja.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @jajanan.kch di akaun TikTok, Tengku Hassanal sempat beramah-mesra bersama rakyat Kuching, Sarawak yang hadir seawal pukul 7 pagi untuk berjumpa dengan baginda.
Ketika memberikan tanda tangan, salah seorang wanita bertanyakan jika Tengku Hassanal sudah mempunyai teman wanita.
“Tak ada ‘girlfriend’. Kerja dulu,” jawab Tengku Hassanal sambil tersenyum.
Justeru, jawapannya itu membuatkan ramai wanita masih lagi menaruh harapan dan menarik nafas lega kerana menganggap masih mempunyai kesempatan untuk berjodoh dengan Putera Diraja.
“Alhamdulillah, tenang saya tidur dengar jawapan Tengku,” komen Wawa.
“Terima kasih sebab tolong wakilkan kami tanya Tengku. Gembira rasa masih ada lagi peluang,” komen Bon.
“Ingat pesan Tengku. Kerja dahulu baru fikir pasal kahwin. Daulat Tuanku,” komen pengguna yang lain pula.
Sehingga kini, videonya mendapat 1.6 juta tontonan, 133,700 tanda suka dan 6,693 perkongsian.
Terdahulu, Tengku Hassanal berkenan berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Isnin lalu bagi lawatan lima hari ke Sarawak.
Sepanjang lawatan kerja di bandar raya ini, baginda berangkat melawat ke beberapa lokasi termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Tengku Hassanal juga berkenan melawat Muzium Kebudayaan Borneo pada Selasa sebelum berangkat ke Majlis Santapan Malam di sebuah hotel terkemuka yang dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – KOSMO! ONLINE