fbpx

Jangan hanya indah khabar dari rupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA perlu bangkit memperkemaskan permainan berbanding aksi ditampilkan ketika tewas 0-4 kepada Jordan baru-baru ini. – AFP

ADAKAH skuad Harimau Malaya kali ini mampu memperbaiki pencapaian 2007?

Persoalan itu mula bermain di fikiran peminat memandangkan dibarisi bintang naturalisasi dan warisan yang dilihat memberi nilai tambah kepada pengendali pasukan, Kim Pan-gon untuk merekodkan keputusan lebih baik pada edisi kali ini.

Keistimewaan itu langsung tiada pada skuad 2007 kerana pa­sukan kendalian Norizan Bakar dibarisi 100 peratus anak tempatan, namun masih lagi mampu menghasilkan satu gol menerusi jaringan tunggal Indra Putra ­Mahayuddin.

Aksi ‘hidup mati’ dengan Bahrain pada Sabtu ini menjadi pentas buat Harimau Malaya mengembalikan keterujaan ketika peningkatan dibawa Pan-gon mula mendapat perhatian pemerhati dan peminat-peminat dari luar negara.

Hanya keputusan positif mampu mengelak Harimau Malaya dilabel ‘indah khabar dari rupa’ memandangkan kehadiran ke Qatar turut membawa reputasi gah hasil keputusan cemerlang mereka dalam aksi persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Andai kata kualiti permainan ditampilkan Bahrain ketika menentang Korea Selatan diambil kira, ia sesuatu yang menakutkan kerana intensitinya cukup tinggi, sekali gus menjanjikan kesukaran apatah lagi lawan itu turut memerlukan mata penting ke ­pusingan kalah mati.

“Malaysia boleh ikut jejak Thailand di Piala Asia 2019 layak ke pusingan 16. Tetapi berbeza dengan Malaysia, lawan Korea di perlawanan terakhir yang lebih kuat. Harap bermain de­ngan jiwa. Realistik nombor tiga terbaik! Ayuh,” menurut ciapan ­Onefootball.my di platform X.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini menjelaskan badan induk itu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, namun tetap bercita-cita untuk memperbaiki pencapaian 2007.

Di sebalik sejarah layak kali pertama secara merit selepas 43 tahun, Hamidin dilaporkan sedar cabaran menanti Harimau Malaya, namun tetap memasang impian melihat pasukan mampu meraih mata dan merealisasikan misi layak ke pusingan 16.

Pada edisi 2007, Malaysia layak selaku tuan rumah bersama Piala Asia, namun tewas kesemua perlawanan Kumpulan C, tunduk 1-5 kepada China, Uzbekistan (0-5) dan Iran (0-2).

“Ia sukar, tetapi ini adalah cabaran sebenar Piala Asia. Jika kita mampu lakukannya 10 tahun lalu, kali ini juga kita pasti boleh pamerkan kualiti,” kata bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI