PETALING JAYA – Penggunaan susu ibu dalam makanan seperti sumber probiotik adalah dilarang kerana bertentangan dengan Maqasid al-Syar’iyyah iaitu menjaga keturunan.
Menurut perkongsian di laman Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, susu ibu tidak boleh diperlakukan seperti harta yang dieksploitasikan memandangkan pensyariatan serta kebaikannya hanya untuk bayi.
Tambahnya, lebihan susu ibu lebih penting untuk diberikan kepada bayi susuan secara langsung kerana keperluannya yang sangat getir bagi proses tumbesaran bayi berbanding dengan kegunaaan produk yang bakal dikomersialkan.
“Perkara ini juga dilarang sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kekeliruan percampuran nasab.
“Produk berasaskan susu ibu untuk kategori bayi berkemungkinan boleh berlaku pensabitan nasab bayi apabila produk diberikan secara berkala.
“Selain itu, keperluan kepada produk yang bersumberkan probiotik susu ibu bukan pada tahap keperluan mendesak dan ia hanya bersifat alternatif dan kategori pelengkap,” katanya.
Hantaran tersebut bagi menjawab pertanyaan individu yang memohon pencerahan berkenaan penggunaan susu ibu secara meluas dalam produk-produk seperti perhiasan, kosmetik, sabun serta produk makanan yang mengandungi komponen daripada susu ibu.
“Sehubungan itu, pandangan yang tidak membenarkan penjualan susu adalah lebih sesuai pada zaman kini dan dianggap sebagai langkah berjaga-jaga agar manfaat susu ibu tidak dieksploitasi untuk tujuan pemasaran.
“Malahan, sekiranya berlaku lebihan susu ibu untuk keperluan bayi, maka sebaiknya diberikan kepada bayi lain yang memerlukan untuk dijadikan bayi susuan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE