fbpx

Ibu Orang Asli mualaf gagal ketepi perintah habeas corpus diperoleh bekas suami bukan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang ibu mualaf keturunan Orang Asli gagal segala usaha untuk mengetepikan perintah habeas corpus agar menyerahkan anak perempuan berusia 10 tahun kepada bapa kandungnya yang bukan beragama Islam.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan wanita berusia 37 tahun itu yang tidak berpuas hati dengan keputusan terdahulu yang memihak kepada bekas suaminya.

Oleh yang demikian, mahkamah tertinggi negara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang yang membenarkan permohonan habeas corpus bekas suaminya pada 25 Mei 2023.

Kemelut kekeluargaan di antara kedua-duanya mendapat perhatian masyarakat ekoran rakaman video kanak-kanak itu menangis bersama ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas satu prosiding mahkamah, tular dalam media sosial.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal berpuas hati bahawa keterangan menunjukkan kanak-kanak perempuan itu pada hakikatnya dipelihara oleh bapa selama empat tahun sebelum diambil oleh ibunya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara berpendapat adalah tidak betul untuk mengambil kanak-kanak tersebut tanpa mendapat perintah hak penjagaan daripada mahkamah.

Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh lelaki berusia 44 tahun itu.

Pada prosiding itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili wanita tersebut (perayu), manakala Datuk Bastian Vendargon dan Gene Anand Vendargon berhujah bagi pihak responden.

Panel berkenaan sebelum itu menolak permohonan Mohamed Haniff Khatri untuk mengemukakan keterangan baharu berkaitan sijil kelahiran kanak-kanak Orang Asli itu.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, mahkamah turut menyatakan pemerhatiannya bahawa keputusan tersebut tidak memberi kesan kepada prosiding hak penjagaan yang masih didengar di Mahkamah Tinggi.

Panel berkenaan juga berpendirian bahawa nama kanak-kanak tersebut dan kedua-dua ibu bapanya serta gambar mereka tidak didedahkan oleh mana-mana pihak.

Pada 1 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuantan mengeluarkan perintah membisu (gag order) agar tidak mendedahkan nama, identiti, gambar atau video tiga beranak itu berkaitan kes hak penjagaan kanak-kanak tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI