IPOH – Nasib dua beranak yang hidup dalam kedaifan di Flat Taman Silibin di sini dibela Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila mereka akan ditempatkan di kediaman lain yang lebih selesa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, selain itu, bantuan kewangan juga akan disalurkan kepada mereka dalam masa terdekat oleh JKM.
“Penama dan ibu tinggal di rumah flat yang terbiar milik individu lain, tetapi pemilik tidak mengenakan bayaran sewa dan mereka telah dua tahun tidak membayar sewa. Flat tersebut usang dan banyak unit tiada penghuni.
“Ibu penama sedang menerima bantuan dari Baitulmal sebanyak RM500 sebulan. Penama mengalami masalah kemurungan di tahap minima dan tidak mahu membenarkan ibunya dimasukkan ke rumah kebajikan dan sanggup menjaga ibunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan tentang nasib seorang lelaki, Erwan Dahari, 46, yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur.
Keadaan unit flat didiami mereka berada dalam keadaan daif apabila ia dipenuhi sampah-sarap termasuklah takungan najis, menjadikan ia tidak sesuai didiami oleh kedua-dua beranak tersebut.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta telah telah menyerahkan Tabung Bantuan Segera (TBS) bernilai RM300 kepada penama.
Selain itu, beliau memaklumkan, JKM juga akan meluluskan bantuan skim Bantuan Am Negeri (BA) bernilai RM400 sebulan kepada penama dan skim Bantuan Warga Emas sebanyak RM500 sebulan kepada ibunya.
“JKM dengan kerjasama pertuduhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Puteri Kebajikan akan mengenal pasti rumah sewa yang lebih sesuai.
“Berdasarkan cadangan bantuan JKM tersebut iaitu RM900 dan Baitulmal RM500, ia akan membolehkan penama dan ibunya tinggal di tempat yang lebih selesa,” katanya. – KOSMO! ONLINE