fbpx

Dua beradik hilang: Suspek 42 tahun dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hasil pemeriksaan hospital mendapati tiada kecederaan fizikal dan kejadian liwat berlaku terhadap salah seorang daripada dua beradik yang sebelum ini dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 16 tahun telah tinggal bersama suspek selama 10 hari di sebuah hotel di Jalan Sultan, di sini.

Katanya, soal siasat telah dibuat dan mendapati suspek telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencabul mangsa.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan hospital mengesahkan tiada kecederaan fizikal dan tiada kejadian liwat berlaku.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kosmo! melaporkan,seorang lelaki berusia 16 tahun telah membuat satu laporan polis dengan mendakwa dirinya dicabul dan diliwat oleh seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Sultan, di sini, Jumaat lalu.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur telah berjaya mengesan dan menangkap suspek di hadapan sebuah hotel yang sama, pada pukul 10.20 malam.

Dalam perkembangan sama pihak polis mendapati remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana dilaporkan, sebaliknya telah keluar dari rumah di Hulu Bernam, Selangor dan terdapat siasatan berkenaan kes ini.

Individu yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga esok bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI