fbpx

Cuepacs sambut baik kenaikan peruntukan PHEKS tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik kenaikan peruntukan bagi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) kepada RM5.8 juta berbanding RM2.6 juta tahun lalu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, peningkatan geran PHEKS ini memberi kesan positif kepada kesatuan sekerja khususnya dalam membantu menyokong pertumbuhan keahlian.

Selain itu, ujarnya ia turut membantu lebih banyak kesatuan sekerja di negara ini untuk melaksanakan aktiviti perkembangan pendidikan serta meningkatkan kemahiran warga pekerja.

“Cuepacs yakin bantuan kerajaan dalam bentuk geran ini dapat menggalakkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan.

“Cuepacs berharap semua kesatuan sekerja terutama daripada kesatuan dibawah gabungan Cuepacs mengambil bahagian sepenuhnya menyertai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Cuepacs juga berharap KSM dapat menyalurkan jumlah minimum sekurang-kurangnya RM10,000 kepada setiap kesatuan sekerja yang memohon untuk menyertai inisiatif PHEKS.

Katanya, jumlah minimum RM10,000 ini bagi membolehkan program-program pihak kesatuan sekerja dapat dilaksana dengan lebih berkesan sekali gus mencapai matlamat yang dimahukan oleh kementerian.

“Dengan dana tambahan yang diberikan ini sudah pasti kesatuan sekerja dapat meningkatkan kapasiti mereka untuk menjalankan program, latihan, dan inisiatif yang menyokong kepentingan pekerja.

“Ia juga diharapkan dapat mempromosi kesatuan bagi menggalakan penyertaan pekerja dalam berkesatuan.

“Sebelum ini ada kesatuan yang hanya menerima kurang daripada RM5,000 secara ‘one off’ dan jumlah tersebut menyukarkan program pendidikan dan berkesatuan dapat dilaksanakan secara komprehensif oleh kesatuan terbabit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI