SEBELUM ini, saya sering teringat tentang penipuan, peperangan dan jenayah apabila diberitahu tentang negara Arab.
Namun, sangkaan itu meleset apabila saya dan rakan ‘mengambil risiko’ untuk melawat negara Arab di sebelah utara Afrika iaitu Mesir.
Kami menghabiskan masa lima hari di Kaherah dan tiga hari di Alexandria serta satu malam transit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Penerbangan kami mengambil masa selama 11 jam dari Kuala Lumpur ke Kaherah.
Keadaan di negara Arab itu agak berlainan dengan Malaysia. Setiap hari, saya disajikan dengan pelbagai kejutan baharu.
Rupa-rupanya, masyarakat Mesir sangat peramah dan boleh berkomunikasi dengan baik dengan orang luar.
Bahkan, di kawasan dengan populasi penduduk miskin seperti Alexandria, ramai di antara mereka yang tidak pernah atau jarang melihat orang Asia seperti kami.
Sehinggakan saya rasa seperti selebriti apabila ramai yang mahu bergambar dengan saya sambil memanggil saya dengan panggilan ‘ni hao’.
Selain itu, saya terkejut dengan budaya memandu di sini. Masyarakat Mesir sememangnya ‘agresif’ ketika memandu.
Mereka gemar membunyikan hon di antara satu sama lain. Sekali lihat, jalan raya mereka sememangnya meriah dan huru-hara.
Anda boleh menyewa kereta dengan permit memandu antarabangsa jika yakin untuk memandu dalam situasi begitu.
Antara kawasan paling menarik kami teroka adalah Gereja Koptik purba yang unik.
Sekali lihat, gereja itu mungkin kelihatan seperti masjid kerana ia mempunyai perkataan bahasa Arab.
Bagaimanapun, ia sebenarnya adalah gereja Ortodoks untuk orang Koptik Mesir. Gereja Koptik di sini berbeza dengan gereja biasa kerana ia memiliki unsur-unsur Arab menerusi reka bentuk dan tulisan-tulisannya.
Walaupun buku perkhidmatan ditulis dalam bahasa Koptik, namun ia mempunyai teks Arab dalam lajur selari.
Ini adalah kejutan budaya yang unik bagi kita sebagai rakyat Malaysia.
Komponen Gereja Koptik Kaherah (Coptic Cairo) ini meliputi tujuh gereja beserta satu muzium yang menceritakan kisah budaya, seni dan artifak Koptik purba.
Gereja ini berusia 2,000 tahun, ada bahagian yang dibina pada zaman Roman, ada dibina pada permulaan era Islam, kebanyakannya dipelihara sehingga hari ini.
Suasana dan panorama gereja tersebut agak sesuai untuk dijadikan lokasi merakam gambar perkahwinan terutamanya apabila hampir dengan waktu matahari terbenam.
Untuk pengetahuan, perjalanan Uber dari kawasan Piramid Giza ke Gereja Koptik Kaherah adalah sekitar RM15.
Tiket untuk masuk adalah percuma ke kawasan Gereja Koptik Kaherah. Sesuai untuk backpackers, kawasan di sini tiada jurujual atau pengemis yang akan mengekori anda.
Berdasarkan pengalaman ini, saya ada sedikit tip untuk backpackers yang datang ke Mesir tanpa pemandu pelancong.
Di Kaherah, kebanyakan tempat pelancongan dipenuhi dengan jurujual cenderamata dan pengemis terutamanya di kawasan Great Piramid.
Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak yang dipaksa oleh ibu bapa untuk keluar menjual barangan kepada pelancong.
Anda akan jumpa kanak-kanak meminta wang atau menjual cenderamata. Elakkan daripada membeli. Hal ini kerana sekiranya anda mula membeli daripada salah seorang budak, akan datang segerombolan kanak-kanak mengelilingi anda.
Tidak mustahil anda akan tersekat selama berjam-jam sehingga anda membeli daripada semua orang.
Jika merancang untuk membeli cenderamata daripada jurujual jalanan, anda juga dinasihatkan untuk berunding dengan mereka.
Cuba untuk dapatkan sekurang-kurangnya lebih 70 peratus diskaun daripada harga asal. Ini kerana, mereka cenderung untuk menaikkan harga sesuka hati terutamanya kepada pelancong luar negara.
Terdapat juga banyak pemandu pelancong yang tidak berlesen meminta anda mengupah mereka untuk lawatan sehari. Saya berharap perkongsian pengalaman ini memberi manfaat kepada semua.