fbpx

41 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Talang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM merampas bubu naga yang dikesan di perairan Pulau Talang, Lumut semalam. - Foto IHSAN APMM

LUMUT – Sebanyak 41 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan sekitar 2.3 batu nautika barat daya Pulau Talang di sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bubu berukuran 10 meter panjang itu dikesan oleh pasukan bot ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak.

Beliau berkata, ketika menyusuri kawasan terbabit, bot peronda APMM melihat pancang kayu yang dipasang bendera diikat bersama pelampung mencurigakan di permukaan air disyaki bubu naga.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hambali berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan.

Menurutnya, ia juga menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

“Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI