BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Nakhon Si Thammarat mahu menyaman ibu angkat suaminya kerana didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki itu.
Laman berita Thaiger melaporkan, Amm, 28, tular di media sosial selepas berkongsikan kisah suaminya yang curang dengan ibu angkat sendiri.
Amm mendedahkan bahawa dia menjalin hubungan cinta dengan suaminya sejak mereka di bangku sekolah menengah.
Pasangan itu berkahwin 12 tahun lalu dan mempunyai seorang anak yang kini berusia empat tahun.
Kehidupan rumah tangga Amm bagaimanapun berubah selepas suaminya bertemu seorang tukang tilik wanita berusia 50 tahun pada tahun lalu. Wanita itu menjadikan suami Amm sebagai anak angkat.
Menurut Amm, dia memerhatikan perubahan tingkah laku suaminya sekitar November tahun lalu. Lelaki itu tidak mengendahkan keluarga dan hanya menumpukan perhatian kepada ibu angkatnya.
Selepas didesak oleh Amm, wanita itu akhirnya mengakui hubungan sulit itu bahkan, dia meminta Amm menerima hubungan mereka.
Suami Amm kini berpindah keluar dari rumah mereka dan tinggal bersama wanita tersebut di Bangkok, menyebabkan dia nekad untuk mengambil tindakan undang-undang. – AGENSI