KOTA BHARU – Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan berkuatkuasa 4 Januari lalu.
Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 11 Januari lalu memaklumkan pelantikan tersebut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Menurut warta itu, satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Januari lalu pada pukul 3.30 petang melibatkan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan di Bilik Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim berhubung perkara tersebut.
“Memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat kehadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan ke hadapan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.
“Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan putera zuriat Almarhum Sultan Ismail Petra, menepati dengan maksud Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.
Warta Kerajaan Kelantan itu memberitahu, Sultan Muhamad V turut menarik balik gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Katanya, penarikan itu berdasarkan kepada kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dibaca bersama dengan Seksyen 47 Interpretation Acts 1948 and 1967. – KOSMO! ONLINE