fbpx

Pemukiman Jemaah Menteri tumpu usaha cari ikhtiar baharu lonjak ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika tiba bagi Sesi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberview Resort @ Spa, Cyberjaya, hari ini. FOTO-FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 selama dua hari bermula hari ini akan menumpukan usaha mencari ikhtiar baharu bagi melonjakkan ekonomi negara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berkata, program yang akan berakhir esok itu turut membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.

Menurutnya, program itu turut memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.

“Program itu turut dihadiri Anwar serta 31 Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan 15 orang jemputan khas yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa.

“Program ini dilaksanakan selaras hasrat Perdana Menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun 2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Di samping itu, program juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government dan ‘whole of nation’,” katanya hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba pukul 2.42 petang tadi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, permukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI