JAKARTA – Seorang pelakon dari Indonesia mendedahkan bahawa dia berasa gementar selepas bermimpi didatangi adiknya yang sudah meninggal dunia bagi memberitahu tarikh kematiannya, lapor laman berita Tribun Trends hari ini.
Mpok Atike berkata, arwah adik bongsunya itu pernah menjadi seorang ahli agama. Dalam mimpinya, adiknya memberitahu bahawa dia akan meninggal dunia pada 10 Julai tahun ini.
Allahyarham adiknya itu juga meminta Mpok Atike untuk bertaubat, berzikir, bersedekah dan rajin bersolat.
“Bulan Disember lalu, saya bermimpi menemui adik bongsu.
“Dia memberitahu bahawa saya perlu cepat bertaubat, rajin solat, banyak berzikir dan sedekah,” katanya sambil menangis ketika ditemui pemberita di Melawai, Jakarta Selatan.
Pelawak itu juga terpaksa berjumpa doktor kerana sukar untuk tidur selepas memikirkan tentang mimpinya itu.
“Saya terpaksa pergi berjumpa doktor untuk mengatasi masalah sukar tidur. Doktor kemudian memberikan saya ubat tidur,” katanya. – AGENSI