TARIKH pilihan raya umum Indonesia pada 14 Februari depan turut membuatkan ramai selebriti yang terjun ke arena politik berdebar.
Antaranya yang dipilih sebagai calon parti masing-masing adalah penyanyi dan komposer tersohor,
Melly Goeslaw yang rancak berkempen menjelang tarikh keramat itu.
Isteri kepada pemuzik Anto Hoed itu menjadi calon DPR RI Jawa Barat Kota Bandung dan Kota Cimahi pada pilihan raya 2024 melalui Partai Gerindra.
Menurut Melly, dia bukan takut berdepan lawan, sebaliknya bimbang ditemu bual hos popular, Najwa Shahib yang terkenal dengan soalan pedas.
Perkara itu didedahkan menerusi Instagramnya, namun kata Melly kerisauannya hilang sebaik mendapat layanan istimewa pengacara rancangan Mata Najwa itu, baru-baru ini.
“Dari dulu saya enggan menjadi calon kerana takut diundang ke program Mata Najwa,” dedahnya.
Najwa sememangnya terkenal dengan soalan panas yang kadangkala membuatkan tetamu kelu lidah ketika program bersiaran.