PONTIAN – Mayat Muhammad Amirul Muzamil, 25, yang terjatuh di Sungai Benut pada malam Isnin lalu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lebih 33 jam operasi mencari.
Mayat yang masih berpakaian lengkap ditemui tidak berapa jauh semasa arwah jatuh pada pukul 9 malam semalam oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang sedang membuat pemeriksaan di kawasan tersebut.
Manakala pengecaman mayat Muhammad Amirul dibuat oleh kakak arwah, Nurashikin Muzamil, 42, berdasarkan kepada tahi lalat pada adiknya, pakaian serta kunci motor di dalam kocek seluar mangsa.
Menurut Nurashikin, dia yang bermalam di rumah ibu saudaranya di Benut menerima panggilan telefon pada pukul 6.30 pagi dari pihak berkuasa dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Alhamdulillah mayat adik bungsu saya telah dijumpai oleh pasukan SAR setelah operasi mencari dilakukan oleh semua pihak, terima kasih kami sekeluarga ucapkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan dua pemancing terjatuh di Sungai Benut berhampiran sebuah medan selera pada kira-kira pukul 9 malam, salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala Muhammad Amirul gagal diselamatkan.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Ramlah Hashim 71, berkata, dia reda dengan kehilangan anak bongsu yang baru berjumpanya sejak seminggu lalu dengan membawa motosikal yang baru dibelinya.
Tambah Ramlah, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Semerah setelah urusan bedah siasat selesai dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mayat mangsa ditemui timbul dipermukaan air (hanya kelihatan di bahagian kepala) lima meter dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE