KOTA TINGGI – Seorang penunggang motosikal patah kaki selepas dihempap pokok tumbang di persimpangan Taman REM, Jalan Kota Tinggi tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Syukri Mohd. Yusof berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan kejadian itu pukul 12.56 tengah hari.
Katanya, seramai enam anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di tempat kejadian didapati benar terdapat pokok tumbang berketinggian 10 meter. Pokok berkenaan telah menghempap seorang lelaki berusia 40an yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Mangsa dibawa oleh ambulans sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian. Akibat kejadian itu mangsa patah kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini – KOSMO! ONLINE