LANGKAWI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuka kertas siasatan ke atas peniaga yang menjual menu ayam goreng kunyit berharga RM20 di sebuah restoran di sini.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, peniaga terbabit memberi maklum balas terhadap Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang dikemukakan pihaknya kelmarin.
“Satu kertas siasatan akan dibuka dan maklum balas serta dokumen yang diterima akan diserahkan kepada Unit Antipencatutan Negeri Kedah bagi analisis pencatutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pelanggan yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit di sebuah restoran di Pantai Chenang. – KOSMO! ONLINE