JOHOR BAHRU – Bapa mangsa keganasan rumah tangga yang dipukul bekas suaminya sehingga parah dan kini masih koma berharap keadilan berpihak kepada mangsa, Jahidah Nordin, 46.
Bapa Jahidah, Nordin Kassim, 70, berkata, keluarganya bersyukur dengan keputusan akhir kes pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas menantunya, Rosmaini Abd. Raof, 41.
“Hari ini perbicaraan masih ditangguh kerana OKT (orang kena tuduh) diarah untuk bela diri, belum ada keputusan.
“Harapan saya, harap saksi-saksi, laporan doktor (perbicaraan bela diri) nanti memihak kepada anak saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas keputusan kes akhir pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Nordin yang juga pesara kerajaan berkata, dia datang dari Keningau, Sabah semalam sebelum menziarahi anaknya, Jahidah yang kini masih terlantar di rumah anaknya, Fauziah di Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Ketika ditanya keadaan terkini Jahidah, Nordin berkata, anak sulung daripada tujuh beradik itu masih terlantar dan tiada perubahan atau tindak balas dan ketika ini masih makan atau minum melalui hidung mengguna tiup.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan bekas suami Jahidah, Rosmaini untuk membela diri selepas Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.
Mahkamah menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! pada pada 17 Mei 2021 melaporkan seorang kakitangan awam di negeri ini terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE