GEORGE TOWN – Dua sindiket perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan kira-kira RM2.5 juta sebulan tumpas dalam dua serbuan berasingan di Queensbay, Bayan Baru dan Jelutong di sini, semalam.
Kedua-dua premis yang merupakan premis perniagaan di Jelutong serta kondominium mewah di Queensbay itu disyaki dijadikan pusat promosi perjudian dalam talian dan pusat panggilan judi dalam talian yang mensasarkan pelanggan dari Australia, Bangladesh serta warga tempatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi berasingan itu, polis turut menahan 13 individu terdiri lapan lelaki dan lima wanita tempatan berusia 21 hingga 33 tahun yang bekerja dengan sindiket tersebut.
Menurutnya, dalam operasi pertama kira-kira pukul 10.45 pagi semalam, polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Jelutong yang disyaki dijadikan pusat promosi sindiket perjudian dalam talian dan berjaya menahan sembilan individu iaitu empat lelaki dan lima wanita berusia 23 tahun hingga 32 tahun.
“Seorang daripada mereka iaitu wanita berusia 32 tahun disyaki menjadi dalang utama sindiket ini di mana dia disyaki bertindak merekrut pekerja-pekerja untuk mempromosi kegiatan judi dalam talian kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, sindiket itu mensasarkan pelanggan dari luar negara antaranya Australia, Bangladesh dan juga pelanggan tempatan.
“Modus operandi sindiket ini ialah mereka menggunakan aplikasi seperti WeChat dan Facebook untuk mempromosi kegiatan mereka. Hasil siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi selama setahun dan mampu menjana keuntungan sehingga RM1 juta sebulan.
“Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif dadah, mereka bekerja secara sepenuh masa dengan bayaran gaji RM2,000 hingga RM6,000 di premis yang disewa dengan harga RM7,000 sebulan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kok Chin berkata, menerusi serbuan kedua kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah kondominium mewah di Queensbay, empat lelaki berusia 21 hingga 33 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan operasi pusat panggilan judi dalam talian.
“Sindiket ini mampu meraih keuntungan RM1.5 juta sebulan dan mereka menggunakan aplikasi seperti WeChat untuk mempromosi pelbagai permainan judi dengan menggunakan komputer dan telefon bimbit,” katanya. – KOSMO! ONLINE