AMPANG – Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja perempuan warga Uzbekistan berusia 17 tahun di dalam kereta peronda (MPV) minggu lalu.
Tertuduh, Lans Koperal Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Bapa dua anak itu didakwa merogol, melakukan persetubuhan luar tabii, melakukan hubungan seks dan amang seksual terhadap mangsa.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam MPV di tepi Jalan Persiaran Saujana Ampang di sini pada pukul 10.30 malam, 9 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatandan Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman jel maksimum 20 tahun dan sebatan.
Anggota keselamatan itu turut berdepan tuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.
Peguam G. Visvanathan Nair bagaimanapun memohon satu jaminan yang rendah iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
“Anak guam saya menanggung isteri dan dua anak berusia setahun dan empat tahun serta ibu bapa berusia 76 tahun dan 70 tahun. Tertuduh juga mempunyai penyakit saraf otot,” katanya.
Hakim Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut dan menetapkan syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mac ini.
Di Mahkamah Majistret, Muhammad Fazrul dan rakannya, Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, didakwa melakukan pemerasan RM500 terhadap teman lelaki mangsa yang berusia 17 tahun dan merupakan warga tempatan.
Pemerasan itu melibatkan rakaman pasangan tersebut sedang bercumbu.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Ampang Hillview pada pukul 10.09 malam tarikh sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman tersebut.
Majistret Amalina Basirah Md Top membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang berserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebulan semula kes. Muhammad Adib Aikal diwakili peguam Kee Wei Lon.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan dua anggota polis ditahan disyaki melakukan samun dan rogol mangsa warga Uzbekistan. Polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu yang dibuat lelaki tempatan dan wanita warga asing.
Ketika kejadian, mangsa dan rakan lelakinya ditahan oleh dua suspek yang lengkap memakai uniform sebelum dibawa ke lokasi berasingan.- KOSMO! ONLINE