fbpx

Anggota enggan terima laporan antara salah laku sangat serius – Allaudeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap anggotanya sekiranya didapati bersalah.

KUALA LUMPUR – “Keengganan mengambil laporan adalah salah laku amat serius.”

Demikian kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika ditanya mengenai kes anggota yang menolak untuk menerima laporan daripada seorang lelaki yang diperas ugut empat anggota daripada sebuah balai.

Beliau memberitahu, empat anggota yang melakukan pemerasan wang bernilai RM10,000 4 Januari lalu telah dikenal pasti.

“Kalau orang datang ke balai buat laporan apa sekali pun, ia perlu diterima oleh anggota bertugas dan seterusnya kes akan diklasifikasi oleh pegawai tertentu.

“Dalam kes ini, kita telah kenal pasti anggota yang enggan mengambil laporan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) KL juga sedang melakukan siasatan.

“Perkara sebegini kita tidak akan bertoleransi. Saya nak ingatkan semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan balai di KL ini, hentikan tindakan yang tidak masuk akal ini. Tidak ada situasi pun untuk anda enggan menerima laporan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambahnya, laporan polis yang dibuat akan diklasifikasikan mengikut peruntukan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Terdahulu Kosmo! melaporkan polis mengesahkan menerima laporan kes pemerasan melibatkan empat anggota polis di hadapan Kompleks Pangsapuri, Kepong, di sini pada 4 Januari lalu.

Seorang lelaki tempatan mendakwa empat anggota polis meminta wang RM10,000 di parkir kompleks Pangsapuri Kepong pada 23 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI