KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bermandi peluh sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka India 2024 di New Delhi.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi sebentar tadi, bekas juara dunia itu memerlukan masa 62 minit untuk menewaskan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-9, 19-21, 21-14.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan naib juara musim lalu menampilkan aksi cukup meyakinkan pada perlawanan itu apabila menunjukkan corak permainan menyerang meskipun ada melakukan beberapa kesilapan mudah.
Untuk rekod, kedua-dua beregu itu pernah bertemu sebanyak tujuh kali sebelum ini dengan empat daripadanya dimenangi Koga-Saito pada Terbuka Denmark 2021 serta Terbuka Jerman, Terbuka Switzerland dan Kumamoto Masters tahun lalu.
Menjelang aksi pusingan kedua esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan satu lagi beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura yang menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad-Sai Pratheek 21-14, 21-11.
Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Kanada, Bryan Yang 21-17, 21-19.
Menanti Zii Jia di pusingan kedua esok adalah pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie yang meneruskan kemaraan selepas menang 21-13, 21-7 ke atas pemain Hong Kong, Ng Ka Long. – KOSMO! ONLINE