KUALA LUMPUR – Sebanyak 220 lokasi ‘hotspot’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenal pasti di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Imigresen (JIM), Datuk Ruslin Jusoh.
Kriteria lokasi itu antaranya bercirikan kawasan tumpuan warga asing berkumpul, pemilik dan pekerja premis perniagaan dan penempatan haram.
“Misalnya, antara lokasi panas di ibu negara adalah sekitar Jalan Silang dan Bukit Bintang, tetapi di negeri lain juga dikesan.
“Majoriti hotspot ialah penempatan yang dikesan sama ada dibina secara haram atau sewa selain tempat kerja dan perniagaan,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, JIM banyak menerima aduan daripada penduduk atau pemimpin masyarakat yang bimbang dengan lambakan warga asing.
Jelasnya, JIM mengambil berat berhubung laporan itu dan akan memastikan warga asing tidak akan selesa tinggal secara tidak sah.
“Hotspot ini dalam radar kita. Tunggu masa (serbuan). kita (JIM) tidak pernah tidur, di saat mereka (PATI) tidur kita datang.
“Kita tidak mahu mereka (PATI) ini bebas bergerak sesuka hati sedangkan mereka melakukan kesalahan (di bawah akta) imigresen,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ruslin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan tempatan yang menggajikan PATI.
Berdasarkan statistik, sejak 1 hingga 16 Januari lalu, JIM melaksanakan sebanyak 714 operasi dan melakukan 7,571 pemeriksaan terhadap warga asing.
“Hasil tindakan itu, seramai 3,261 PATI ditahan selain menangkap seramai 35 majikan,” katanya.
Tegas beliau, operasi berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan. – KOSMO! ONLINE