fbpx

Tiada kenaikan tambang bas sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Tiada sebarang kenaikan tambang bas sekolah akan dikenakan bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia, Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, tambang bas adalah atas persetujuan dengan pelanggan sahaja dan bukan lagi dikawal oleh kerajaan.

Katanya, tidak boleh ada harga pakatan atau sebagainya dalam tambang sekolah ini kerana ia salah di sisi Akta Pencatutan.

“Setiap tahun ada sahaja cerita pasal kenaikan tambang walaupun perkara itu tidak patut dibangkitkan lagi. Kalau rasa hendak naikkan tambang, berbincanglah secara baik dengan pelanggan. Jangan bebankan mana-mana pihak.

“Jika kedua-dua pihak setuju, maka itulah tambangnya. Selain itu, tambang setiap pengusaha adalah tidak sama dan bergantung kepada mutu perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mengesahkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan Mac ini dijangka meningkat.

Jelas Mohamad Haron, apa yang dirisaukan kira-kira 350 ahli berdaftar persatuan ini adalah mengenai kenaikan minyak diesel dari RM2.15 kepada RM3.75 seliter.

Ujarnya, selagi tiada sebarang keputusan daripada pihak kerajaan mengenai subsidi minyak diesel atau petrol tersebut, maka ibu bapa tidak perlu risau mengenai tambang tersebut.

“Sekiranya ini (harga diesel naik), pasti ada kenaikan tambang sekolah, namun perlu berbincang untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak terlibat.

“Justeru, saya cadangkan tambang bas sekolah ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya seperti yang dikecapi oleh penduduk-penduduk di Kuala Lumpur,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata Mohamad Haron, pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk membincangkan subsidi tambang bas sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI