KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus besar sebuah lembaga pertubuhan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa.
Sumber memberitahu siasatan awal mendapati suspek berusia awal 50-an telah ditahan di pejabatnya di sini pada pukul 12.05 tengah hari.
“Dia disyaki telah menyalah guna kuasa meluluskan tuntutan bayaran bagi pembelian pukat dan racun serangga atas nama isterinya.
“Perbuatan tersebut dipercayai telah dilakukan suspek sejak tahun 2018,” katanya di sini hari ini.
Sumber berkata, lelaki tersebut telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan.
Katanya, perintah reman berkenaan dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Dia disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE