PETALING JAYA – Di saat ramai peniaga terbeban dengan kenaikan kos bahan mentah sehingga terpaksa menaikkan harga barang, namun masih ada lagi segelintir peniaga sanggup menjualnya dengan harga murah.
Buktinya, tular di media sosial apabila sebuah gerai berdekatan Jalan Hulu Langat, Dusun Nanding, Hulu Langat menjual semua makanan pada harga RM3.
Menariknya, juadah berharga RM3 itu bukan setakat kuih muih, malah hidangan nasi ayam, nasi paru sambal, roti, john, burger, laksa penang, daging harimau menangis juga dijual pada harga sama.
Selain itu, menu hidangan barat dan pencuci mulut seperti puding roti, pulut mangga, ‘jeli ball’ viral, cheesekut juga dijual pada harga sama.
Difahamkan lokasi gerai tersebut berdekatan stesen minyak Petronas Nanding, Hulu Langat dan semua makanan itu diusahakan oleh orang kampung terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pelanggan dan pengguna media sosial berkongsi keenakkan dan harga makanan di situ yang berbaloi.
“Walaupun murah, tetapi saya dah beli dan ternyata ia sangat sedap dan berbaloi pada harga tersebut,”tulis Akma Haris.
“Memang semua sedap puas hati dengan harga dan kualiti makanan,”tulis Shariza Rapiaun.
Turut meninggalkan komen adalah seorang peniaga dikenali sebagai Faizal Ralip.
“Berbaloi dengan harga. Support (sokong) lah peniaga tempatan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.