SHAH ALAM – Sebanyak RM28 juta disasarkan hasil jualan pakej pelancongan Ramadan melibatkan tiga buah negeri sepanjang bulan Ramadan menerusi ‘MyRamadan Experience’.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pakej pelancongan yang julung kali dilakukan itu melibatkan penginapan sehingga lima hari empat malam di 32 buah hotel di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Katanya, ini bagi mengetengahkan keunikan sambutan Ramadan di negara ini kepada pelancong muslim di seluruh dunia.
“Kita mahu masyarakat Islam seluruh dunia melihat Malaysia sebagai negara yang terbaik untuk dicontohi bukan kerana kita mempromosikan Islam semata-mata.
“Sebaliknya, turut menunjukkan bagaimana kita mempraktikan hidup dalam masyarakat berbilang kaum dengan budaya keharmonian yang begitu tinggi sekali,” katanya selepas melancarkan pakej ‘MyRamadan Experience’ di sini, malam tadi.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 1,000 pek pakej tersebut telah dijual dengan fokus utamanya adalah penduduk Muslim yang ramai di negara China.
Bagaimanapun, kata Khairul Firdaus, pihaknya telah menerima banyak maklum balas positif bagi mempromosikan pakej tersebut kepada negara luar selain China termasuk daripada bukan Islam.
“Kemeriahan dan pelbagai aktiviti keagamaan di negara ini boleh menarik penglibatan mereka dalam mengenali sambutan Ramadan di negara ini termasuk qiamullail, berbuka puasa beramai-ramai, bazar ramadan, tarawih serta bubur lambuk itu sendiri.
“Sekiranya program pakej ini berjaya, kita akan melebarkan sayap ke beberapa buah negeri lain yang turut berminat seperti apa yang telah dimaklumkan kepada saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau yakin 35 imam daripada 14 Wilayah China yang telah mengikuti Pelancongan Malaysia Mesra Muslim selama enam hari bermula 10 Januari lalu akan menjadi duta pakej pelancongan yang diperkenalkan kementerian ini.
“Apabila imam daripada negara China ini balik, mereka turut bantu kita promosikan pakej ini dan kita anggap mereka sebagai brand ambassador.
“Ini kerana kita mahu Malaysia ini dilihat sebagai tempat terbaik untuk pelancong islam. Bukan setakat percutian itu sendiri tetapi penghayatan budaya dan kehidupan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE