fbpx

Sangat terasa kehilanganmu nak – Ibu Muhammad Zaharif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dikongsikan Mimi Julia di TikToknya (kanan) menunjukkan wang belanja sekolah Allahyarham Muhammad Zaharif yang tidak sempat dibelanjakan pada hari kejadian.

PETALING JAYA – “Hari ini 15 Januari 2024, dah 31 hari Adik Mat tiada di sisi ibu. Ibu sangat-sangat terasa akan kehilanganmu nak”.

Demikian perkongsian Mimi Julia Ismail, 50, ibu kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, remaja yang dipercayai maut akibat dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta dipandu pegawai polis, 15 Disember lalu.

Mimi Julia menerusi TikTok berkata, kehidupan tanpa Muhammad Zaharif yang dipanggil Adik Mat itu, sangat hambar.

Selain itu, Mimi Julia turut mengimbau kembali hari-hari terakhir sebelum ‘kehilangan’ anaknya itu.

“Kehidupan yang ibu jalani hari ini sangat sangat hambar walaupun Along, Eno dan Ety cuba hiburkan hati ibu dan abah, tapi tetap ada rasa kekurangan.

“Kalau Adik Mat ada mesti abah dah sibuk rancang nak pergi bercuti. Kita dah janji nak balik kampung awal nak sambut puasa di sana. Kita dah janji nak shopping baju raya pada 16 Disember 2023 di Kuala Lumpur (KL).

“Selepas tu hari Rabu 14 Disember 2023, awak ajak ibu pegi KL pada hari Jumaat 15 Disember 2023 awak minta nak tidur di hotel. Rupanya malam itu awak tidur seorang di hotel satu bilik. Allahuakbar, kita hanya mampu merancang,” katanya.

Menurutnya, kini selepas ketiadaan Allahyarham, dia sedar ia adalah cubaan Muhammad Zaharif untuk ‘berenggang’ dengan keluarga.

“Awak dah tak nak ikut ibu pergi mana-mana. Paling ketara sebulan sebelum awak tinggalkan ibu, awak tak nak ikut sambut hari lahir abah hingga abah merajuk.

“Dalam kereta abah ‘moody’ nasib baik dah sampai dekat restoran tu ‘mood’ abah okey sikit. Kami makan-makan tanpa awak. Tiada gambar kita ramai-ramai sambut hari lahir abah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mimi Julia juga berkongsi rasa terharu apabila mengenangkan suapan terakhirnya kepada Muhammad Zaharif.

“Paling terharu hari Khamis terakhir lepas ibu bukak puasa, Adik Mat mintak ibu suapkan pengat pisang yang ibu masak sedangkan selama ni awak tak suka semua jenis bubur termasuklah pengat pisang.

“Awak minta ibu suapkan dan itulah suapan terakhir ibu untukmu sayang. Awak terakhir makan hari Khamis selepas asar, sehinggalah lepas awak meninggal awak dah tak makan apa-apa.

“Duit belanja sekolah yang abah bagi RM20 pagi Jumaat tu awak langsung tak belanja pun di sekolah, masih ada dalam dompet,” kongsinya.

Mimi Julia berkata, luahannya itu bukan untung mengundang simpati, tetapi sekadar berkongsi kenangan.

“Pilunya hati ibu hanya Allah yang tahu. Catatan ini dicoret bukan nak mengundang simpati sesiapa, tetapi hanya sebagai kenangan yang melintas di fikiran ibu dan hanya di sini ibu mampu luahkan apa yang terbuku di hati.

“Kejamnya manusia zaman ini sehingga ibu kehilangan anak. Kepada Allah ibu berserah diri dan percaya kepada qada dan qadar yang sudah tertulis.

“Damailah awak di sana. Al-Fatihah buat Adik Mat yang sangat ibu rindui. Semoga ada sinar baru buat ibu dan keluarga kita. Semoga keadilan berpihak kepada mu nak,” akhirnya.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh, didakwa berlaku kerana tidak puas hati antara pemandu kereta dengan mangsa yang dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Pada 18 Disember lalu, pemandu kereta tersebut, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI