SERDANG – Kerajaan hari ini melancarkan program AI (Kecerdasan Buatan) Untuk Rakyat yang boleh diakses dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin secara percuma dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI Untuk Rakyat merupakan program untuk meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia tentang teknologi baharu AI.
Ujar beliau, seperti mana-mana penerokaan teknologi baharu pasti terdapat tantangan dan kebimbangan, maka AI Untuk Rakyat bertujuan menangani keraguan tersebut.
“Saya masih ingat tahun 80an semasa mahu mempopularkan komputer di seluruh negara banyak pertimbangan tentang bahan yang mungkin kompromi tentang akhlak, pornografi dan sebagainya.
“Jadi saya fikir bagaimana hendak tarik minat masyarakat di kampung, saya bawa komputer ke masjid. Saya tanya imam nak baca surah apa dan saya klik surah al-Baqarah. Itu antara cara saya nak yakinkan maysarakat.
“Kini keadaan sudah berubah. Kebimbangan 80an tidak sangat merungsingkan pada tahun 2024,” katanya pada Majlis Pelancaran AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
AI untuk Rakyat yang boleh dicapai melalui portal www.ai.gov.my adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk mendekatkan jurang literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagi golongan pelajar, program itu memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan menarik minat mereka menceburi dan membina kerjaya dalam sektor tersebut.
Bagi golongan masyarakat lain, program berkenaan dapat memberikan fahaman asas tentang AI iaitu sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat besar kepada individu, masyarakat dan negara.
AI Untuk Rakyat dibahagikan kepada dua bahagian: ‘Kesedaran AI’ atau turut dikenali sebagai ‘AI Aware’ dan ‘Hargai AI’ atau ‘AI Appreciate’ dan kedua-dua bahagian boleh disiapkan dalam masa kira-kira empat jam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, AI merupakan suatu bidang yang mesti dikuasai sekarang kerana ia perubahan yang perlu diterima oleh semua pihak.
Justeru, katanya, beliau mahu pimpinan setiap universiti memastikan semua pelajar mereka tanpa mengambil kira disiplin pengajian mengikuti program AI Untuk Rakyat.
Menurut beliau, anggota pentadbiran kerajaan termasuk Jemaah Menteri juga diwajibkan mengikuti dan menyelesaikan program kira-kira empat jam secara dalam talian tersebut.
“Bermula hari ini mesti ada usaha perkenalkan aplikasi ini. Mesti kemuka laporan apa telah dilakukan untuk melaksanakan usaha pencerahan atau kecelikan AI.
“Dalam tempoh satu bulan dari hari ini beri laporan apa yang telah diusahakan dan berapa jumlah anak-anak kita yang telah tamat ‘kursus awal’ empat jam ini.
“Saya rasa satu kerugian besar jika tidak memanfaatkan dengan memastikan semua pelajar dan pensyarah menguasai kefahaman asas tentang AI. Kita tidak ada waktu. Saya harap universiti pastikan semua pelajar tanpa kecuali mesti ikuti program empat jam AI Untuk Rakyat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, teknologi AI Generatif berpotensi membuka kapasiti produktif bernilai AS$113.4 bilion dalam ekonomi Malaysia jika diterima pakai sepenuhnya merentas semua industri.
Jelas beliau, unjuran berdasarkan lapora “The Economic Impact Of Generative AI: The Future Of Work In Malaysia” itu bersamaan dengan satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022.
“AI bukanlah seperti yang telah digambarkan oleh Hollywood dan digembar-gemburkan sebagai teknologi yang akan mengambil alih fungsi manusia dan seterusnya akan menawan dunia.
“Pemahaman asas mengenai teknologi AI membuka peluang untuk memperdalam pengetahuan teknologi yang amat diperlukan dalam dunia digital.
“Dengan memanfaatkan peluang ini, kita mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan Malaysia menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE