AL-RAYYAN – Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong mempertikaikan keputusan pengadil, Ilgiz Tantashev kerana mengesahkan gol kedua Iraq ketika tewas 1-3 pada aksi pertama Kumpulan D Piala Asia 2023 di Stadium Ahmed bin Ali kelmarin.
Tae-yong mendakwa jaringan Osama Rashid di penghujung separuh masa pertama sepatutnya dibatalkan kerana seorang lagi pemain Iraq, Mohanad Ali dalam kedudukan ofsaid ketika itu.
Bagaimanapun, Tantashev menghadiahkan juga jaringan tersebut selepas pengadil dari Uzbekistan itu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Saya tidak tahu gol kedua (Iraq) tidak dianggap ofsaid. Jika tanggapan saya betul, maka pengadil telah membuat keputusan yang salah. Memang kami kecewa kerana ia berlaku pada waktu yang penting,” kata Tae-yong.
Gol itu dilihat ‘membunuh’ semangat perjuangan Sang Garuda untuk mencipta kejutan meraih satu mata.
Ia selepas Marselino Ferdinand meledak gol penyamaan pada minit ke-37 untuk memadam jaringan pembukaan Iraq melalui Mohanad Ali.
Indonesia di ranking ke-146 dunia, terpaksa akur selepas Iraq meledak gol ketiga menerusi Aymen Hussein pada minit ke-75. – AGENSI