REMBAU – Seorang pembantu katering dijatuhi hukuman penjara enam bulan dari tarikh ditangkap dan denda sebanyak RM2,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan melanggar kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) dalam satu rondaan, lebih seminggu lalu.
Majistret Kartini Kasran membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, Ismail Abd Rahman, 26, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.
Majistret turut memerintahkan enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menghalang penjawat awam iaitu Koperal Zali Muhamad dan Lans Koperal Zuhaili Hasbullah dengan melanggar kenderan yang dipandu oleh anggota polis tersebut.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi, 7 Januari lalu di hadapan Masjid Penajis, Kampung Relong.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roslaili Alias.
Media pada 8 Januari lalu melaporkan seorang lelaki sanggup lari meninggalkan teman wanitanya selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam cubaan menyelamatkan diri dari ditangkap polis di Kampung Relong, Penajis. – KOSMO! ONLINE