PETALING JAYA – Malaysia hari ini sekali lagi mengulangi pendirian mendukung langkah Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bersama negara-negara sahabat yang lain, membenam kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataannya di Facebook berkata, tindakan berani Afrika Selatan dalam melonjak isu berkaitan ke ICJ, semestinya didukung oleh seluruh dunia dan warga yang waras.
Anwar berkata, dunia telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.
Jelas beliau, ia adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang diterjemahkan secara jelas melalui pendirian serta kebijakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin menjelaskan sikap melampau Israel.
“Meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, namun rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air serta maruah bangsa.
“Setakat hari ini sejak 7 Oktober yang lalu, Israel telah membunuh seramai 22,185 rakyat yang tidak berdosa, dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.
“Negara-negara Barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya. Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran,” katanya.
Beliau berkata, gelombang penentangan terhadap Israel yang hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan dahulu.
“Malangnya, gelombang penentangan ini belum menjentik nurani pemimpin di negara-negara Barat untuk mengambil pendirian yang menyemangati apa yang mereka paksakan ke atas negara lain selama ini.
“Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada.
“Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di ICJ bersama negara-negara sahabat yang lain menegak keadilan dan membenam kezaliman.
“Kami tahu betul bahawa kebebasan kami tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin (Nelson Mandela),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.